mutakhir

Pecahkan mesin ATM kerana berang kad bank ditelan

Oleh Norsyazwani Nasri

Sibu: Berang kerana tidak dapat mengeluarkan wang, seorang penganggur memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Salim di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, lelaki berusia 35 tahun berkenaan ke ATM berkenaan bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, tindakan lelaki itu dilihat pengawal keselamatan di pasar raya terbabit.

Katanya, pengawal keselamatan terdengar bunyi kuat dan apabila memeriksa dia ternampak lelaki terbabit memecahkan mesin ATM sebelum menangkapnya.

"Suspek bertindak agresif dengan menumbuk skrin mesin ATM hingga rosak sebelum beredar keluar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dengan bantuan seorang lagi rakannya, pengawal keselamatan terbabit berjaya menangkap suspek tanpa sebarang kekerasan.

"Suspek kemudian diserahkan kepada anggota Balai Polis Lanang tiba di lokasi selepas menerima maklumat," katanya.

Stanley berkata, suspek dikatakan berang selepas kad bank yang digunakan untuk mengeluarkan wang ditelan mesin ATM itu walaupun mendakwa memasukkan nombor pin yang betul.

"Suspek mahu mengeluarkan wang i-Sinar untuk membeli pakaian anaknya," katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Suspek ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 4:38pm
d