mutakhir

Penuntut IPTS ditipu RM84,600

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengalami kerugian berjumlah RM84,600 selepas terpedaya dengan pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada 5 Januari lalu, mangsa berusia 25 tahun melayari Facebook yang memaparkan iklan pelaburan bitcoin dan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 72 jam.

Menurutnya, mangsa kemudian dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang memberi penerangan mengenai pelaburan bitcoin.

"Setelah bersetuju, mangsa diarahkan oleh suspek supaya mendaftar di sebuah laman web.

"Dalam tempoh 5 hingga 8 Januari lalu, mangsa membuat beberapa transaksi bayaran secara berperingkat untuk membeli bitcoin dalam lima akaun berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM84,600.

"Suspek bagaimanapun terus mengarahkan mangsa membuat pembayaran menyebabkan pelajar terbabit kehabisan wang," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian memberitahu ahli keluarganya sebelum dimaklumkan dia menjadi mangsa penipuan.

Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tengkera, Jumaat lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di atas kesalahan penipuan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan dan tawaran untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, maklumat lanjut berkaitan pelaburan boleh diperoleh dari sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 5:59pm
d