mutakhir

Hanya tinggal tangga rumah

Oleh Roselan Ab Malek

Raub: "Saya terkejut dan macam tidak percaya apabila pulang ke rumah, apa yang tinggal adalah tangga batu rumah sahaja. Manakala, bangunan rumah dihanyutkan beberapa meter dari situ," kata Abdul Raof Muntil, 51.

Rumah pusaka Abdul Raof di Kampung Ajai, Dong dekat sini dihanyutkan kira-kira 10 meter dari lokasi asal ketika kampung itu dilanda banjir.

"Kejadian ini sama sekali tidak dijangka seperti sebelumnya ketika hujan lebat, air tidak akan naik begitu tinggi. Kali ini sangat dahsyat ... nasib baik semua penduduk telah meninggalkan kediaman mereka semasa air mulameningkat," katanya yang bekerja dan menguruskan beberapa kebun buah berdekatan.

Kampung Ajai antara kampung paling teruk terjejas di Dong, di mana beberapa rumah tenggelam dalam banjir dan sebahagiannya runtuh.

Katanya, rumah kayu dua bilik yang dibina oleh arwah ayah pada 1965 penuh dengan kenangan bersama dengan empat adik beradiknya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana ke Tanjung Malim menghantar anak.

Namun, abangnya Abdul Daud, 56, bersama dua anak lelakinya dari Shah Alam, Selangor berada di situ ketika banjir mula melanda kawasan itu.

"Ketika air mulai naik dan banjir melanda kampung, abang saya dan anak-anaknya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan dan kemudian terus balik ke Shah Alam. Ketika rumah itu dihanyutkan tidak ada seorang pun di rumah.

"Abang ada memberitahu rumah itu dilanda banjir teruk dan ketika saya tiba di kampung pada Isnin, saya dapati hanya tangga konkrit yang masih utuh sementara rumah itu dihanyut 10 meter dari situ.

"Nasib baik, terdapat beberapa batangpokok kelapa berdekatan, kalau tidak rumah itu akan dibawa lebih jauh," katanya.

Beliau berkata, seluruh rumah tenggelam dan dia kini sedang membuang barang rosak dan melakukan kerja pembersihan.

"Ramai sukarelawan dan rakan-rakan datang membantu melakukan kerja kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi.

Abdul Raof, yang tinggal berdekatan dengan rumah pusaka itu, mengatakan kejadian itu adalah kali kedua, di mana sebelum ini rumah keluarganya rosak dan turut dihanyutkan dalam banjir besar pada 1971.

"Rumah berbentuk tradisional itu banyak meninggalkankenangan indah. Koleksi buku-buku lama, album foto dan beberapa barang antik yang dikumpulkan semasa era British dan semasa zaman muda saya yang disimpandi rumah ituturut rosak," katanya.

Abduk Raof, berkata, beliau anak bongsu dari lima beradik,turut dilahirkan di rumah itu, kini berhasrat untuk membina rumah baru di tempat asal dengan gabungan kedua-dua konkrit dan kayu.

"Apabila cuaca bertambah baik, saya akan membongkar kepingan papan kayu dari rumah lama dan menggunakan semulauntuk rumah baru itu kelak.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 6:09pm
d