mutakhir

Pilih kerjaya samseng upahan Al Long, 16 ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Upah golongan belia dan remaja untuk menjadi samseng ceti haram (Ah Long) bertujuan menakut-nakutkan peminjam.

Itu tindakan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Puteri Puchong di sini, yang diserbu polis Khamis lalu.

Difahamkan semua samseng upahan itu termasuk enam wanita terbabit dengan kejadian simbah cat di sebuah rumah di Puncak Jalil, di sini, pada 15 Jun tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, tangkapan itu dibuat susulan dua laporan polis diterima pihaknya daripada seorang penjawat awam lelaki berusia 44 tahun berhubung kejadian itu.

"Dalam kejadian pada 15 Jun 2020 itu, mangsa mendapati kereta Proton Gen 2 miliknya disimbah cat merah sehingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian RM5,000.

"Susulan kejadian itu yang tular di media sosial baru-baru ini, kami memanggil pengadu bagi membantu siasatan pada 4 Januari lalu.

"Hasil keterangan pengadu, kami berjaya mengesan seorang suspek melalui gambar Mykad yang diambil oleh pengawal keselamatan ketika suspek mengunci pagar rumah mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, tadi.

Razali berkata, susulan maklumat itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri Puchong, di sini jam 3 petang, Khamis lalu, seterusnya menahan 16 suspek berusia antara 17 hingga 23 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas satu komputer riba, 14 telefon bimbit, 25 buku resit persatuan kebajikan, tujuh kad sim, 200 kertas mengandungi nama, nombor kad pengenalan serta nombor telefon orang awam, sijil pendaftaran syarikat dan dua cop syarikat.

"Soal siasat dilakukan mendapati salah seorang daripada 16 suspek yang ditahan mengaku terbabit menyimbah cat di rumah mangsa bersama seorang rakannya yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek bekerja di premis berkenaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai syarikat pengurusan acara.

"Difahamkan juga ada sebahagian daripada mereka berperanan sebagai konco Ah Long yang melakukan kerja-kerja menakutkan peminjam yang tidak membuat pembayaran dengan bayaran sebanyak RM500 bagi setiap 'projek'.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan semua suspek itu termasuk menyiasat penggunaan buku cek persatuan kebajikan yang ditemui ketika serbuan," katanya.

Katanya, suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam beranak terpaksa hidup dalam ketakutan sejak dua tahun lalu apabila sering diganggu sekumpulan Ah Long selain diekori dan rumah serta kereta disimbah cat.

Menurut mangsa, Huda Muhamad, masalah itu timbul selepas pemilik asal rumah didiami mereka sekeluarga menggunakan alamat rumahnya di Puncak Jalil untuk membuat pinjaman Ah Long sehingga kini.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 6:19pm
d