mutakhir

Dua suspek samun dan curi kenderaan diberkas

Oleh Amir Mamat

Melaka: Dua penjenayah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di empat negeri berjaya diberkas ketika bersembunyi di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun seorang daripada suspek berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam serbuan jam 12.40 tengah hari, pihaknya mengesan tiga suspek berada di hotel terbabit.

Katanya, menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri sebelum seorang daripada mereka cuba merempuh kenderaan polis menyebabkan seorang anggota polis cedera di tangan.

"Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan dan mengenai tayar kereta jenis Perodua Myvi dinaiki suspek.

"Dua suspek masing-masing lelaki berusia 38 tahun dan teman wanitanya berumur 42 tahun berjaya ditahan, namun seorang lagi suspek lelaki berusia 34 tahun berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Suspek lelaki berkenaan cedera di kedua-dua tangan akibat pergelutan dengan polis manakala suspek wanita tidak cedera.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, suspek lelaki yang ditahan itu disahkan mempunyai 100 rekod tangkapan dan 40 rekod jenayah lampau.

Katanya, polis turut menemui masing-masing sebilah kapak dan parang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah dan kegiatan jenayah serta pelbagai jenis dadah.

Menurutnya, antara dadah ditemui adalah jenis methamphetamine seberat 20.64 gram, heroin (15.07 gram), empat biji pil kuda (0.56 gram) dan dua pil ectasy.

"Pemeriksaan turut mendapati suspek wanita itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah serta curi kenderaan di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dengan tertangkapnya dua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun dan pecah rumah serta curi kenderaan di di negeri ini sejak September tahun lalu.

"Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek menjalankan kegiatan jenayah secara 'mobile' (berpindah-randah) dan menjadikan Melaka sebagai transit persembunyian.

"Kami percaya semua suspek berkenaan mempunyai rangkaian dan kita akan bekerjasama dengan polis kontinjen Johor, Negeri Sembilan serta Perak bagi mengenal pasti saki baki individu yang terbabit.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 379A, Seksyen 380 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 7:21pm
d