mutakhir

Kartel daging: SPRM tahan ejen penghantaran

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Suspek yang juga ejen penghantaran ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 8 malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi esok bagi permohonan reman," katanya.

Khamis lalu, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dilaporkan direman lima hari hingga hari ini.

Kedua-dua pegawai Maqis yang berusia 27 dan 31 tahun itu dilaporkan direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi siasatan lanjut.

Menurut sumber, dua pegawai Maqis berkenaan sudah dilepaskan daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 11:17pm
d