mutakhir

Pegawai Imigresen hadapi 6 tuduhan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram dan menerima suapan sebagai balasan bagi melepaskan warga asing.

Tertuduh, Yusrazif Wan Yusoh, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima RM215,990 iaitu hasil aktiviti haram daripada Yuen Hoon Loong yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh di Alliance Islamic Bank cawangan Putrajaya pada 27 Februari hingga 13 November 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubalan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Noor Azwa.

Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon ikat jamin rendah kerana tertuduh adalah penanggung keluarga dan mempunyai empat anak masih kecil.

Selepas meneliti pendakwaan kes dan mengambil kira rayuan tertuduh, Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh didakwa menerima wang tunai daripada dua individu berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM15,000.

Ia sebagai balasan melepaskan empat warga China dan seorang warga Filipina melalui kaunter Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Semua kesalahan itu dilakukan di Alliance Islamic Bank Cawangan Putrajaya, antara 28 Oktober hingga 16 November 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunapakai jumlah sama di mahkamah sebelum itu.

Kedua-dua mahkamah juga menetapkan sebutan semula pada 18 Februari depan untuk dibicarakan serentak.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 12:08pm
d