mutakhir

Darurat: Pentadbiran kerajaan, perkhidmatan awam tak terganggu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mempunyai kuasa tertentu untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Katanya, negara sedang berdepan ancaman besar seperti penularan Covid-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

Menurutnya, dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah membolehkan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat tidak lumpuh.

"Setelah mempertimbangkan nasihat jemaah menteri, Seri Paduka berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan Proklamasi Darurat bagi membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal 2B Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu bagi mengekang dan menghalang berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini," katanya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, jemaah menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi menurut perlembagaan persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang-di-Pertuan Agong daripada semasa ke semasa.

Beliau berkata, sepanjang tempoh darurat ini jika Seri Paduka berpuas hati bahawa ada keadaan tertentu yang menyebabkan perlu mengambil tindakan serta merta, maka baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut keadan semasa.

"Dalam konteks ini beberapa ordinan darurat boleh dimasyhurkan Seri Paduka bagi tujuan membendung wabak Covid-19 yang merangkumi hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara hak milikan tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit," katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Berita berkaitan:

  • Aktiviti ekonomi terus berfungsi
  • Badan kehakiman berfungsi seperti biasa: PM
  • Kekal tenang, bersatu membendung Covid-19: PM
  • Darurat bukan untuk halang pilihan raya: PM
  • Agong berkuasa untuk masyhur ordinan sepanjang darurat
  • Pilihan raya tak akan diadakan
  • Darurat bukan rampasan kuasa tentera
  • Kronologi darurat di Malaysia
  • Agong ambil kira pandangan Raja-Raja Melayu
  • Agong perkenan darurat sehingga 1 Ogos 2021
  • Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 12:16pm
    d