mutakhir

Ajal elak bangkai babi

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kampung Gajah: Lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori kerana mengelak daripada melanggar bangkai babi di Kilometer 5 Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di sini, hari ini.

Mangsa, Jamaludin Abdullah, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.40 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan Proton Wira yang dipandu mangsa dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 26 tahun.

"Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari Kampung Gajah menuju ke arah Tanjung Tualang, manakala mangsa arah bertentangan.

"Mangsa dipercayai mengelak bangkai babi dengan ke kanan jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tengah lori," katanya dalam satu kenyataan.

Barudin berkata, mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 3:04pm
d