mutakhir

Nazri Aziz tarik balik sokongan kepada PM, kerajaan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan sedia ada.

Menurut Mohamed Nazri, ia adalah keputusan yang sudah lama difikirkannya dan ia difikirkan terbaik untuk parti.

Mohamed Nazri berkata, mandat itu adalah suara akar umbi di kawasannya di Padang Rengas dan juga parti.

"Kita tidak menentukan bila pilihan raya, tetapi dengan menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin ia bermakna bahawa kerajaan ada 109 saja dan tidak ada majoriti," katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, semua ahli parlimen ada pertimbangan berhubung sokongan itu dan menjangkakan ada beberapa individu lagi akan mengikut langkah sama.

Mohamed Nazri berkata, tindakan Muhyiddin menyembah cadangan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong menunjukkan beliau sudah tiada majoriti.

"Bila tak ada majoriti, dia kena buat pilihan raya. Tapi kita semua tahu macam mana nak buat pilihan raya kalau Covid-19 melanda kita.

"Saya samakan ini macam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, PRK Gerik dan lagi satu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Tujuan diminta darurat ialah tidak boleh buat pilihan raya kecil, samalah yang ini," katanya.

Mohamed Nazri berkata, usul tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dasar parti dan Perhimpunan Agung UMNO hanyalah ruang untuk mengesahkannya.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 3:34pm
d