mutakhir

Perdengar alunan ayat al-Quran setiap malam di PKRC [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Alunan bacaan ayat suci al-Quran setiap malam diperdengarkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Jubli Perak sebagai pengisian rohani pesakit.

Inisiatif itu dilakukan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan bacaan itu dialunkan oleh Timbalan Ketua Penolong Pegawai Perubatan JKNK Mohd Awal Din Mohd Nazir, hampir setiap malam sejak pusat itu dibuka 6 Januari lalu.

Pengarah PKRC Dr Azman Yacob berkata, bacaan ayat suci diperdengarkan menerusi sistem pembesar suara yang terpasang dalam dewan itu oleh Mohd Awal Din yang berada di tingkat atas (clean area) kira-kira setengah jam selepas solat Maghrib.

"Bacaan Yasin juga dilakukan beramai-ramai pada malam Jumaat sebagai pengisian rohani pesakit Covid-19 yang sedang menjalankan kuarantin di sini.

"Ia adalah inisiatif kakitangan JKNK sendiri yang melihat PKRC perlu ada pengisian selain menjadi lokasi kuarantin semata-mata di samping memberi sokongan berterusan kepada pesakit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Azman berkata, PKRC yang kini memuatkan 120 pesakit Covid-19 turut dibekalkan dengan WiFi yang boleh digunakan oleh pesakit melayari internet selain bagi keperluan kakitangan sendiri.

Menurutnya, pengisian aktiviti riadah juga disediakan yang mana set permainan congkak untuk pesakit wanita manakala karom pula untuk lelaki bagi mengisi masa lapang pesakit yang perlu menjalani tempoh kuarantin sehingga 10 hari.

"Setakat ini tiada sebarang masalah yang dihadapi sama ada di pihak pesakit atau kakitangan sendiri sepanjang menjalani penugasan, malah segala kelengkapan yang disediakan sangat memuaskan," katanya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata, inisiatif yang dilakukan di PKRC sebagai pengisian pesakit serta kakitangan yang bertugas dilihat sangat bagus.

Beliau berkata, bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan setiap malam boleh meningkatkan semangat pesakit yang mungkin ada dalam kalangan mereka kurang bersemangat.

"Jangka masa kuarantin selama 10 hari memang agak panjang dan tempoh itu jika dimanfaatkan sebaiknya, pesakit akan lebih tenang dan mampu menjalani kuarantin dengan baik," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 4:20pm
d