mutakhir

Mangsa banjir di Pahang terus berkurangan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Penduduk yang terjejas akibat banjir di Pahang menurun kepada 18,977 mangsa daripada 5,216 keluarga yang kini ditempatkan di 176 pusat penempatan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini, setakat 4 petang ini.

Berbanding 8.15 pagi tadi, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 20,715 mangsa banjir daripada 5,676 keluarga ditempatkan 205 PPS di sembilan daerah.

Berdasarkan rekod, Temerloh mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 10,069 mangsa daripada 2,522 keluarga, diikuti Pekan (3,129 mangsa daripada 888 keluarga).

Di Maran pula 2,083 mangsa daripada 590 keluarga; Lipis (942 mangsa daripada 259 keluarga), Bera (1,615 mangsa daripada 449 keluarga), Raub (73 mangsa daripada 19 keluarga; Jerantut (317 mangsa daripada 96 keluarga) dan Kuantan (749 mangsa daripada 163 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan tiga sungai masih lagi melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Di Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh pula melepasi paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut pula melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri ini hingga esok.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 4:59pm
d