mutakhir

Guru kembali bertugas sebelum 20 Januari [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) dikehendaki kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, kehadiran ke sekolah adalah bagi guru yang terbabit dengan kelas peperiksaan, pengurusan dan guru lain yang diarah hadir bertugas oleh Ketua Jabatan.

Menurut beliau, kehadiran AKP adalah tertakluk kepada arahan ketua jabatan mengikut garis panduan semasa.

"Surat kebenaran pergerakan juga akan dikeluarkan buat guru dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk ke sekolah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau tinggal di PKPB dan mengajar di PKP.

"Ia akan dikeluarkan oleh pihak sekolah untuk membolehkan mereka hadir," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, berkaitan guru berisiko tinggi seperti berpenyakit, Radzi berkata, mereka perlu mengemukakan surat kesihatan untuk dipertimbangkan untuk tidak ke sekolah.

"Jika ada guru yang mempunyai isu kesihatan, perlu disertakan surat daripada doktor.

"Perkara ini akan diteliti dan dibincangkan oleh ketua jabatan mengikut keperluan serta langkah tertentu berdasarkan bukti yang ada," katanya.

Ditanya sama ada KPM akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada guru yang akan kembali ke sekolah, beliau berkata, buat masa ini tiada keperluan berbuat demikian kerana kapasiti kesihatan yang terlalu terhad ketika ini.

Tambah beliau, apa yang penting adalah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat akan menjamin sekolah selamat daripada risiko penularan jangkitan pandemik terbabit.

"Insya-Allah, dengan SOP yang ada, kita yakin sekiranya semua pihak mematuhinya, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah dan kita dapat memastikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah berlangsung dalam keadaan selamat untuk murid," katanya.

Menurut beliau, sekolah juga diarahkan mengetatkan pemantauan terhadap murid dan pelajar selepas waktu persekolahan supaya mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 6:29pm
d