mutakhir

Jahanam bila 'monyet' rosakkan replika penyu

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Baru dibina dua minggu lalu namun replika penyu dan telur penyu karah di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini, sudah dirosakkan pengunjung.

Akibat laku musnah atau vandalisme itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil tindakan drastik menutup replika penyu dan telur penyu karah berkenaan tadi.

Sejak dibuka kepada pengunjung pantai 28 Disember lalu, kebanyakan kanak-kanak dikesan memijak 10 replika penyu karah dan 20 telur haiwan marin itu yang diperbuat daripada gentian kaca hingga menyebabkan ia rosak.

MPAG tidak ada pilihan lain selain terpaksa memasang pita larangan di sekeliling replika berkenaan bagi menghalang kanak-kanak dan orang dewasa memijak hasil seni itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Fadhil Hassan menegaskan, beliau mengarahkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu supaya segera mengambil tindakan berkenaan berikutan jumlah kerosakan replika semakin meningkat.

"MPAG menutup sementara replika penyu dan telur penyu karah bagi menjalankan kerja pembaikan akibat vandalisme.

"Ada kepala dan kaki penyu patah dan telur diterbalikkan tetapi kami belum ada perancangan untuk memagar keseluruhan kawasan itu," katanya tadi.

Sehubungan itu beliau meminta ibu bapa memastikan anak mereka tidak melepasi pita halangan itu semata-mata untuk duduk atau memijak replika berkenaan kerana ia bakal menyebabkan MPAG terpaksa mengeluarkan kos kerja pembaikan.

Bagaimanapun, beliau yakin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok akan menyebabkan tiada kanak-kanak dan ibu bapa mengunjungi replika berkenaan.

MPAG memperuntukkan RM20,000 bagi menyerahkan kerja pembinaan replika itu kepada sebuah syarikat swasta bagi meningkatkan industri pelancongan di pantai peranginan itu.

Sejak mula beroperasi, ia menjadi tumpuan ibu bapa yang membawa anak masing-masing bukan setakat untuk merakam gambar kenangan, malah membiarkan anak memijak replika penyu dan telur itu.

Keunikan seni bina replika itu yang diadaptasi daripada penyu karah yang dipulihara di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, di sini berjaya menarik kehadiran lebih ramai pengunjung di pantai berkenaan.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Melaka, sebanyak 182 pendaratan penyu dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Mei lalu, berbanding hanya 106 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 7:45pm
d