mutakhir

Ibu tunggal dan anak selamat, rumah musnah

Oleh Melvin Joni

Padawan: Dua beranak terselamat apabila rumah mereka di Kampung Annah Sadir, di sini musnah akibat tanah runtuh dalam kejadian awal pagi hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku sekitar 3.30 pagi disebabkan hujan tanpa henti sejak Isnin lalu.

"Pemantauan di lokasi mendapati rumah berkenaan yang didiami seorang ibu tunggal dan anak lelakinya rosak sepenuhnya akibat menggelongsor bersama tanah runtuh.

"Selain itu, dua rumah lagi yang terletak berhampiran turut berisiko tinggi diancam runtuhan kerana struktur tanah didapati tidak lagi kukuh susulan runtuhan terbabit," katanya.

Sementara, Ketua Kaum, Sagu Bakong berkata, rumah didiami dua beranak itu baru sahaja dibaik pulih beberapa bulan lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berwajib segera tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab melakukan tindakan penyelesaian agar kejadian seperti ini tidak berulang.

"Kejadian itu turut menjejaskan dua tiang elektrik yang terletak tidak jauh dari kawasan runtuhan," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 8:49pm
d