mutakhir

Polis tahan 3 suspek samun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan tiga lelaki terbabit kes samun selepas menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Metro, Pudu, di sini, dan merampas pelbagai barangan semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bertindak atas maklumat itu, pada 12.45 tengah hari sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi menyerbu bilik hotel dan menahan tiga suspek berusia 29 hingga 37 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam bilik hotel itu, pihak polis merampas barangan seperti senjata tiruan menyerupai pistol, walkie talkie, sebatang cota besi, sebilah parang dan empat bilah pedang samurai dan tiga cermin mata pelbagai jenama;

"Turut dirampas tiga topi keledar, kunci motosikal, lima telefon bimbit dan pelbagai kad bank.

"Susulan daripada serbuan ini, pihak Polis turut merampas tiga buah motosikal yang digunakan untuk melakukan kegiatan samun," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohamad Zainal berkata, hasil saringan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Tahanan reman ke atas tangkapan dibenarkan selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini untuk siasatan lanjut.

"Penangkapan suspek dipercayai dapat menyelesaikan empat kes samun di sekitar daerah Dang Wangi," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 11:00pm
d