mutakhir

Lebih banyak kemudahan untuk anggota bertugas di SJR [METROTV]

Oleh Hazri A Bakar

Johor Bahru: "Saya baru balik jumpa kawan." Itu alasan diberikan seorang pemandu berusia 22 tahun yang diperiksa jam 12.30 malam tadi di sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Perling, di sini.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah bermula jam 12.01 tengah malam tadi.

Pemandu itu bagaimanapun hanya diberi amaran dan turut dinasihatkan mematuhi PKP bagi mengelak sebarang kesulitan.

Harian Metro turut meninjau persiapan dilakukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (IPDJBU) di dua lokasi utama iaitu di Taman Perling dan Jalan Skudai.

Ketika jam 12.01 tengah malam, kenderaan bertali arus dan pemeriksaan mendapati kebanyakannya pemandu baru pulang dari bekerja dan mereka sudah bersiap sedia dengan surat majikan sebagai pengesahan pergerakan mereka.

Ketua Polis Daerah IPDJBU, Asisten Komisioner Rapeah Abd Wahid turut membantu pegawai dan anggotanya dalam memastikan segala kemudahan disediakan bagi anggota bertugas.

Beliau turut menggesa orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Rapeah berkata, SJR di tiga lokasi iaitu di Taman Perling, Jalan Skudai dan Jalan Kempas, pihaknya menempatkan 25 anggota dan jumlah itu dijangka bertambah dengan sokongan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Berbanding dengan PKP sebelum ini, khemah pegawai dan anggota polis lebih banyak kemudahan disediakan termasuk ruang solat, bekalan air dan elektrik serta meja makan," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 12:01pm
d