mutakhir

Sungai Pahang masih melimpah, banjir lambat surut

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir yang melanda Pahang ketika ini dijangka berlarutan antara satu hingga dua minggu, susulan limpahan air Sungai Pahang yang melebihi paras normal.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Norhafifi Ismail berkata, air bertakung juga mungkin lambat surut kerana hujan masih berterusan di kawasan berkenaan.

Katanya, jangkaan itu dibuat susulan pemantauan daripada udara yang mendapati air Sungai Pahang masih di paras bahaya.

"Biasanya kalau banjir, air akan masuk ke dalam sungai dan laut sebelum surut, namun situasi di Pahang agak berlainan sedikit kerana Sungai Pahang itu sendiri masih melimpah.

"Itu yang dikatakan banjir termenung kerana selagi air Sungai Pahang tidak surut, air yang ada di kawasan-kawasan banjir tidak akan surut kecuali diserap secara perlahan-lahan atau ada saluran-saluran lain.

"Jadi kita berharap supaya hujan berhenti atau kembali reda seperti minggu ini supaya ia tidak menyumbang kepada penambahan air di dalam sungai, bagi membolehkan paras sungai normal," katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di sini, hari ini.

Turut mengiringinya Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Dalam pada itu, Norhafifi berkata, aktiviti pasca bencana dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) di beberapa kawasan di Pahang dan Terengganu sudah dijalankan.

"Harapan kita apabila paras air sungai surut, air yang melimpah (bertakung) ke kawasan perumahan akan mengalir ke sungai dan laut supaya kita dapat melakukan kerja pasca banjir segera.

"Tumpuan pembersihan membabitkan kemudahan awam seperti sekolah, balai raya dan masjid dengan sasaran sekurang-kurangnya 20

pembersihan pada satu-satu masa di setiap lokasi," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 1:26pm
d