mutakhir

Hujan lebat, limpahan air dua sungai punca banjir [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Limpahan air dua sungai berdekatan iaitu Sungai Sarawak dan Sungai Rantau Panjang yang naik mendadak menyebabkan ramai penduduk Kampung Rantau Panjang di Batu Kawa, di sini, tidak sempat menyelamatkan barang terutama perabot dalam kejadian banjir, awal pagi hari ini.

Penduduk, Kasuma Kipli, 46, berkata mereka sekeluarga hanya menyedari kediaman dinaiki air pada 4 pagi.

Ketika itu, katanya, mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur di tingkat atas.

"Tiada apa mampu dilakukan kerana apabila kami sedar, semua perabot di tingkat bawah sudah ditenggelami air.

"Hujan lebat berlaku seharian dan berlarutan hingga malam menyebabkan air naik dengan cepat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Memburukkan lagi keadaan, hujan lebat berterusan selama beberapa jam itu bertembung dengan air pasang besar yang mencecah 5.6 meter, semalam.

Susulan banjir yang melanda beberapa kawasan rendah itu, seramai 385 mangsa daripada 91 keluarga kini ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) dengan empat daripadanya di Kuching manakala masing-masing satu di Serian dan Miri.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, di Kuching, seramai 75 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Dewan Rekreasi Bimajaya; 35 mangsa daripada 16 keluarga di Balai Raya Taman Desa Wira; 187 mangsa daripada 42 keluarga di Dewan Serbaguna Taman Malihah dan 60 mangsa daripada 11 keluarga di rumah kedai di pekan Batu Kawa.

"Bagi kawasan Serian, seramai 21 mangsa membabitkan enam keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Betong Kenawit.

"Di Miri pula, seramai tujuh sekeluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu 1, Kuala Baram," katanya.

Sementara itu, hujan lebat diramal berterusan di beberapa bahagian di negeri ini dan air pasang besar yang mencecah 5.9 meter dijangka berlaku pada 5.33 petang hari ini.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 2:47pm
d