mutakhir

'Terima kasih nenek...'

Oleh BERNAMA

Padawan: Seorang nenek bersama anak perempuannya bertindak pantas membawa keluar empat cucunya apabila sebahagian rumah mereka di Kampung Garung, Kilometer 40, Jalan Puncak Borneo, ditimbus tanah runtuh, malam tadi.

Nona Budis, 63, berkata kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya itu berlaku pada 8.30 malam ketika beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala cucu dan anak perempuannya berada di dapur rumah berkenaan.

"Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat, diikuti runtuhan dinding rumah kami dan tanah memasuki ke dalam ruang tamu rumah.

"Mujurlah ketika itu anak dan cucu saya tidak berada dekat dengan televisyen seperti kebiasaannya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Hadir untuk melawat dan meninjau tempat kejadian ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi.

Menurut Nona, ini kali kedua kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya itu berlaku, selepas kejadian pertama baru-baru ini.

"Ketika ini, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah anak saya," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua rumah mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, di sini, 3.30 pagi semalam.

Ketua kampungnya, Sagu Bakong berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku akibat hujan berterusan sejak Isnin lalu.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 2:57pm
d