mutakhir

Rampas 2,397 karton rokok seludup

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menahan dua lelaki warga asing dan merampas 2,397 karton rokok seludup di Batu 25 Jalan Apas, Balung, dekat sini, Isnin lalu.

Tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Task Force Perisikan Batalion 14, PGA Tawau susulan risikan dan pemantauan di kawasan 'hot spot' di pusat bandar di sini, pada 11.30 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya mengesan dua kereta Proton Waja dan sebuah Proton Saga dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekorinya sehingga ke kawasan Batu 25, Balung.

Beliau berkata, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, pemandu dua kereta Proton Waja memecut laju sehingga nyaris melanggar seorang anggota Task Force PGA.

"Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan yang melarikan diri itu berjaya ditemui apabila terbabas di tepi jalan tidak jauh dari lokasi terbabit dan suspek telah meloloskan diri.

"Pemeriksaan ke atas dua kenderaan itu menemukan 1,868 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak mempunyai cukai kastam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yacob berkata, selain itu pihaknya turut merampas 529 karton rokok disimpan di dalam kenderaan Proton Saga FLX dinaiki dua suspek warga asing berumur 29 dan 31 tahun yang ditahan sebelum itu.

Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran di sekitar Tawau dan daerah berhampiran dan pihaknya turut menyita ketiga-tiga kenderaan digunakan suspek selain merampas tiga anak kunci kereta, dua telefon bimbit dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM365,277.60.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 3:02pm
d