mutakhir

Abang terkorban selamatkan adik, empat rakannya

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Mayat remaja lelaki ditemui pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja, dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd Naqiuddin Adnan, 16, ditemui di dasar parit pada 8.40 pagi hari ini selepas dia dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dan empat rakan pada 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati pada 4 petang semalam, mangsa turun mandi ke parit berkenaan bersama adiknya, Akmal Muzakir Adnan, 12, dan empat rakannya berusia antara 10 hingga 13 tahun.

"Lebih kurang 30 minit mandi manda, adik mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus sebelum mangsa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dengan menarik ke tepi parit berkenaan.

"Selain itu, dua lagi rakan adik mangsa yang turut mandi bersama terselamat.

"Akibat keletihan, mangsa kemudian dilihat hanyut dibawa arus dan tenggelam, namun adiknya serta empat rakan tidak berupaya menolong dan mendapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dijalankan sebaik maklumat diterima dengan membabitkan pihak berkuasa dan penduduk setempat, namun mangsa gagal dijumpai semalam.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini dan pada 8.40 pagi, mayat mangsa dijumpai anggota bomba di dasar parit itu.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.

"Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dengan pergerakan anak dan tidak membiarkan anak mandi di parit atau sungai dalam keadaan cuaca dan paras air yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, bomba menggunakan teknik 'surface searching' dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air bertentangan iaitu arah Gate Air dengan jarak lebih kurang 1 kilometer (km).

Beliau berkata, parit berkenaan mempunyai lebar hampir 10 meter (m) dan kedalaman tiga meter (m).

"Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera FRT dan satu utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.50 pagi sebaik mayat mangsa ditemui," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:02pm
d