mutakhir

APM perlu 3,500 pegawai, anggota tetap

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan kira-kira 3,500 pegawai dan anggota yang tetap bagi memantapkan lagi perkhidmatan mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Norhafifi Ismail berkata, ketika ini penjawatan APM adalah seramai 1,265 orang di seluruh negara dengan hanya 576 penjawatan daripada skim keselamatan pertahanan awam.

Katanya, penambahan jawatan menerusi skim itu adalah wajar dengan mengambil kira peranan dan tanggungjawab APM dalam perkhidmatan bantuan kecemasan termasuk bencana banjir dan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

"Pegawai dan anggota tetap seperti saya hanya ada 576 untuk melihat dan menjaga keselamatan 32 juta rakyat Malaysia.

"Kalau kita mahu buat perbandingan, seorang pegawai APM perlu melihat kira-kira 50,000 orang keselamatan nyawa orang awam dan harta benda mereka.

"Kita faham kekangan yang dihadapi kerajaan namun kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan kita untuk menambah pegawai dan anggota yang tetap bagi mengimbangi keperluan operasi dan pengurusan," katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Norhafifi berkata, pihaknya banyak menggunakan khidmat tenaga daripada lebih 5,000 sukarelawan berdaftar untuk memperkasakan pengurusan bencana di seluruh negara.

Katanya, bantuan anggota sukarelawan banyak membantu ketika negara menghadapi banjir dan Covid-19.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:12pm
d