mutakhir

Banjir di Johor beransur pulih

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Cuaca mendung namun tidak hujan di kebanyakan lokasi di negeri ini menyebabkan air banjir di beberapa daerah semakin surut.

Ia menyebabkan jumlah mangsa banjir di Johor kini menurun kepada 2,999 penduduk membabitkan 830 keluarga di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat 4.30 petang ini, berbanding 3,314 penduduk membabitkan 915 keluarga, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, walaupun hujan sudah berhenti di kebanyakan kawasan di negeri ini, langkah berjaga-jaga dan pemantauan masih diteruskan berikutan keadaan cuaca tidak menentu selain fenomena air pasang besar yang diramal berlaku sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, kini hanya lima daerah terjejas banjir iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Pontian terjejas banjir selepas Mersing dan Kulai yang dilanda banjir gelombang kedua sejak kelmarin pulih sepenuhnya apabila PPS di daerah berkenaan ditutup masing-masing pada 3 dan 2 petang, semalam.

Katanya, Pontian yang juga daerah terbaharu banjir di Johor kekal dengan 17 mangsa banjir daripada empat keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, petang ini.

"Kota Tinggi yang kekal sebagai daerah paling terjejas banjir di Johor, merekodkan penurunan mangsa banjir kepada seramai 2,161 penduduk daripada 574 keluarga di 22 PPS, petang ini, berbanding seramai 2,202 penduduk daripada 587 keluarga, pagi tadi.

"Johor Bahru pula terus mencatatkan penurunan drastik mangsa banjir kepada seramai 624 penduduk daripada 205 keluarga di lima PPS, petang ini, berbanding seramai 922 penduduk daripada 284 keluarga, pagi tadi.

"Segamat kekal dengan 76 mangsa banjir daripada 20 keluarga di sebuah PPS.

"Kluang pula meningkat kepada 121 mangsa banjir daripada 27 keluarga di sebuah PPS, petang ini, berbanding seramai 97 mangsa banjir daripada 20 keluarga, pagi tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:22pm
d