mutakhir

517 mangsa banjir di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat kepada 517 orang, setakat 4 petang hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, mereka membabitkan 170 keluarga di Kuching, Serian dan Miri.

Beliau berkata, sebanyak sembilan PPS dibuka dengan enam di Kuching, dua di Miri dan satu di Serian.

"PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah, Kuching merekodkan jumlah paling ramai ketika ini dengan 151 mangsa daripada 27 keluarga, diikuti PPS Dewan Serbaguna Lorong 5I Desa Wira yang menempatkan 91 mangsa daripada 73 keluarga.

"PPS Dewan SK Matu Baru, Kuching pula menempatkan 80 mangsa daripada 16 keluarga; di PPS SJK Chung Hua, Kuching pula seramai 60 mangsa daripada 19 keluarga; PPS Shophouse Lot Batu Kawa seramai 59 mangsa daripada 11 keluarga manakala Balai Raya Taman Desa Wira Lorong 10A pula seramai 35 mangsa daripada 16 keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, satu lagi PPS dibuka di Miri petang ini iaitu PPS Surau Darul Iman, Tudan Fasa 2 yang menempatkan 13 orang sekeluarga.

Beliau berkata, PPS Balai Raya Kampung Batu 1 Kuala Baram, Miri pula kekal dengan tujuh sekeluarga.

"PPS Dewan Kampung Betong Kanowit di Serian kekal dengan 21 mangsa daripada enam keluarga.

"Pemantauan rapi dijalankan berikutan hujan lebat berterusan dan air pasang besar yang dijangka berlaku petang ini," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 5:55pm
d