mutakhir

'Style' baru, daftar sekolah cara pandu lalu

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Guna kaedah `daftar pandu lalu' ketika pendaftaran murid sekolah tahun satu bertujuan mengelakkan bahaya virus Covid-19.

Langkah itu diperkenalkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut di sini, bagi membolehkan seramai 252 murid mendaftar masuk berbanding 200 murid tahun lalu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, Safinaz Nordin berkata, pertambahan murid hampir 25 peratus memerlukan pihaknya menyiapkan tambahan tujuh lagi kelas serta segera menguruskan pendaftaran murid baharu tadi.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, kami berbincang dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi meneruskan program pendaftaran murid selepas Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Akhirnya kami bersetuju mengadakan pendaftaran secara pandu lalu," katanya tadi.

Katanya, walaupun pada mulanya berlaku kesesakan namun proses itu mengikut jadual dan dapat diselesaikan dalam tempoh pantas.

"Terima kasih juga kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberi penambahan 100 set kerusi dan meja untuk kegunaan murid tahun ini," katanya.

Safinaz berkata, terima kasih juga kepada ibu bapa yang sangat berdisiplin sepanjang beratur dan menunggu giliran untuk mendaftar secara pandu lalu semalam.

"Ibu bapa yang membeli fail dan peralatan di sekolah di kedai buku juga menunjukkan sikap tolenransi yang sangat tinggi dengan mengamalkan norma baharu dan mengikut SOP.

"Kami berharap keadaan (Covid-19) akan kembali reda tahun ini dan murid-murid dapat belajar seperti biasa namun kita bersedia untuk hadapi cabaran ini dengan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 7:13pm
d