mutakhir

Guna peralatan model pantau sempadan Sarawak

Oleh BERNAMA

Kuching: Motosikal 'Scrambler' atau 'off-road', kenderaan serba rupa bumi (ATV) serta dron berkeupayaan tinggi antara peralatan dicadang untuk diperoleh Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak (JKSS), bagi rondaan di kawasan sempadan negeri.

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang juga Pengerusi JKSS berkata, mereka akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mendapatkan dana untuk peralatan diperlukan kepada agensi pelaksana bagi memantau sempadan dengan lebih agresif.

"Adalah penting untuk Sarawak meningkatkan kawalan sempadan dalam usaha mengurangkan kemungkinan penularan virus (Covid-19) dan menangani masalah penyeludupan di sempadan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada akhir mesyuarat JKSS, hari ini.

Masing berkata, rangkaian telekomunikasi bagus antara pos sempadan dan pusat kawalan agensi pelaksana perlu disediakan, bagi menyalurkan maklumat mengenai aktiviti tidak diingini di sempadan.

"Di pos kawalan sempadan seperti di Tapak Megah dan Pandora (kedua-duanya berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di Bahagian Kapit), apa yang merisaukan ialah penyeludupan barangan atau dadah dan saya cadangkan supaya disediakan kemudahan jalur lebar 'ConnectMe' di pos berkenaan," katanya.

Masing berkata, pada ketika situasi pandemik Covid-19 ketika ini, isu pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki Sarawak adalah suatu yang amat membimbangkan kerana laporan diterima daripada agensi berkaitan mendedahkan 70 peratus kes virus itu membabitkan kes import.

Beliau berkata, selain meningkatkan keselamatan di sempadan, usaha perlu bagi memburu mereka yang menjadi dalang kepada kemasukan Pati ke Sarawak.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 8:54pm
d