mutakhir

Syukur, Farihan sudah dapat katil

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Alhamdulillah, anak saya tidak lagi terlantar di lantai kerana ada penderma katil," kata Faezah Hamid, 41, ibu kepada Nor Farihan Salwani Ibrahim, 22, yang pengidap penyakit (SLE) atau radang sendi menyebabkan dia terlantar di lantai rumah di Kampung Kala, dekat sini.

Faezah, 41, berkata, dia tidak mampu membeli katil khas untuk anaknya itu kerana upah menjadi pembantu kedai makan digunakan untuk melangsaikan sewa rumah.

Menurutnya, dia terharu dengan kunjungan pelbagai pihak yang menghulur sumbangan.

"Selain Farihan yang terlantar sejak tiga bulan lalu, saya menjaga dua anak lelaki orang kurang upaya (OKU).

"Saya mempunyai empat anak dan hanya anak ketiga, Nor Fatin Sarmila Ibrahim, 16, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek.

"Anak kedua, Mohd Haikal Ikwan, 18, menghidap masalah saraf manakala anak bongsu, Mohd Syafiq Nasaruddin, 15, lembam dan bersekolah di kelas pendidikan khas SMK Tengku Bendahara," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Portal MyMetro baru-baru ini menyiarkan dugaan ibu tunggal menjaga dua anak lelaki OKU dan anak gadis sulung yang menghidap sakit radang sendi.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah hanya berpendapatan RM20 sehari dan mengutamakan bayaran sewa rumah sebanyak RM100 sebulan.

Baki pendapatan itu baru digunakan untuk perbelanjaan dapur yang ada kalanya tidak mencukupi.

Faezah berkata, walaupun sibuk melayan pelanggan di kedai makan, ia tidak menghalang tugasnya menjaga tiga anak bermasalah kesihatan.

"Mujur juga kedai makan berkenaan dibuka setiap hari, jadi ia tidak menjejaskan pendapatan saya," katanya.

Dia berkata, anak ketiga, Nor Fatin Sarmila hanya diberi tanggungjawab membersih pakaian dan mengemas rumah.

Berita berkaitan

Dugaan ibu tunggal jaga dua anak OKU, seorang lagi terlantar [METROTV]

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 10:54am
d