mutakhir

KPDNHEP rampas 110,000 barang tiruan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 110,000 barangan tiruan dalam serbuan di dua premis di Lorong Haji Taib dan Bandar Sri Damansara, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Zubir Hamsa berkata, sepasukan pegawai KPDNHEP Kuala Lumpur membuat serbuan itu bersama wakil pemilik cap dagang hasil risikan selama seminggu selepas menerima maklumat penjualan secara dalam talian.

Menurutnya, hasil serbuan dilakukan di sebuah premis pemborong di Lorong Haji Taib menemui barang disyaki tiruan terdiri beg, dompet dan tali pinggang berjenama.

"Pemeriksaan di sebuah gudang di Bandar Sri Damansara pula menemui sejumlah mata pisau cukur daripada jenama terkenal yang disyaki tiruan.

"Pasukan serbuan berjaya menyita sebanyak 110,000 unit barangan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM25,000 yang sedang menunggu untuk diedarkan di kedua-dua premis ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zubir berkata, siasatan awal mendapati peniaga borong di Jalan Haji Taib itu menjual barangan berkenaan secara dalam talian dan secara borong kepada pelanggan di seluruh negara.

"Bagi peniaga yang menjual mata pisau cukur berjenama tiruan itu pula didapati mengedarkan barangan itu untuk jualan di seluruh seluruh negara.

"Siasatan lanjut akan dilakukan terhadap peniaga terbabit mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 51 kes disiasat pihaknya mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan berjumlah RM7.25 juta sepanjang 2020 sehingga awal tahun ini.

"KPDNHEP memberi amaran dan peringatan kepada semua pihak supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan barang tiruan boleh memaklumkan kepada kami melalui beberapa saluran disediakan untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 2:44pm
d