mutakhir

Bot tunda karam, 3 hilang

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Tiga anak kapal dilaporkan hilang apabila sebuah bot tunda dalam perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar di sini, awal pagi semalam.

Bot tunda Ever Winner itu sedang menunda sebuah tongkang Ever Eternity tanpa muatan mengharungi cuaca buruk sebelum disedari hilang oleh syarikat pengangkutan bot itu pada jam 4 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 4.20 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 5.20 petang.

Katanya, berdasarkan laporan diterimanya, ketua jurutera bot tunda itu, Asman Mohamad, 31, terselamat dan berjaya berenang ke pantai berhampiran.

Manakala juragannya Mohamad Mal, 49, serta dua anak kapal Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, dan Azlan Hassan, 23, dilaporkan hilang.

"Seorang anak kapal tongkang pula, Roslie Antala, 48, ditemui selamat terkandas di kawasan cetek berhampiran pesisir muara Kinabatangan Besar selepas tali tunda tongkang putus dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima daripada Mohamad Mal, dia tercampak keluar dari bot tunda itu dan berenang ke daratan terdekat.

"Manakala tiga lagi disyaki masih terperangkap di dalam bot sebelum hilang dari pandangan berikutan cuaca yang gelap.

"Panggilan komunikasi dengan bot terbabit juga tiada jawapan dan kita syaki bot tunda itu tenggelam," katanya.

Menurutnya, SAR yang memasuki hari kedua dipecahkan kepada enam sektor pencarian dengan keluasan meliputi 211 batu nautika persegi.

SAR membabitkan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tugas Bersama, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 3:55pm
d