mutakhir

Rugi RM7,000 ditipu 'adik' palsu

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang wanita kerugian RM7,000 selepas individu tidak dikenali yang menyamar sebagai adik lelakinya meminta dia meminjamkan wang itu kerana kehilangan dompet semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa percaya suspek adalah adiknya memandangkan suaranya sama.

"Insiden bermula apabila mangsa, peniaga makanan berusia 46 tahun dihubungi suspek yang memberitahu mahu meminjam wang kerana dompetnya hilang selain terpaksa menukar nombor telefon.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuat dua transaksi berjumlah RM7,000 untuk membantu 'adiknya' itu," katanya hari ini.

Menurut beliau, bagaimanapun, suspek kemudiannya menghubungi mangsa sekali lagi dan meminta wang tambahan.

Noorzainy berkata, mangsa yang curiga kemudiannya menghubungi nombor telefon adiknya yang dikatakan hilang.

"Adik mangsa menafikan ada menghubungi mangsa selain memaklumkan yang kakaknya itu diperdaya sindiket penipuan menyamar ahli keluarga," katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian semalam.

"Orang ramai diminta tidak mudah percaya dan lebih peka dengan keadaan sekeliling dan keluarga supaya tidak lagi menjadi mangsa penipuan seperti ini," katanya.

Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 21 tahun yang mahu membuat pinjaman peribadi kerugian RM9,550 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud diiklankan di laman sosial.

Noorzainy berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan pakaian berminat untuk membuat pinjaman RM20,000 sebelum berhubung dengan ejen syarikat terbabit.

"Namun mangsa dikehendaki membuat bayaran pendahuluan untuk urusan dokumentasi selain diberitahu bahawa semua bayaran itu akan dipulangkan selepas pinjaman diluluskan.

"Mangsa melakukan lima transaksi ke tiga akaun berbeza sebelum menyedari diperdaya. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 4:02pm
d