mutakhir

Mayat berpakaian pekerja pelantar minyak ditemukan [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Satu mayat berpakaian lengkap seperti pakaian pekerja pelantar minyak ditemukan di pesisir Pantai Sri Telong, di sini, hari ini.

Mayat tanpa pengenalan diri itu dipercayai ditemui orang awam sebelum menghubungi polis pada 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di kawasan kejadian dan menemui satu mayat terdampar 50 meter dari pantai.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia melebihi seminggu berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal tengkorak.

"Identiti mangsa sukar dikenalpasti kerana pakaian sut (bersambung baju dan seluar) seperti pakaian pekerja pelantar minyak sukar dibuka.

"Setakat ini, hasil pemeriksaan kami dan polis Pasir Puteh mendapati tiada laporan kehilangan pekerja pelantar minyak dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsulmuddin berkata, pihaknya tidak menemui sebarang senjata atau objek tajam di kawasan mayat.

Beliau berkata, mayat ditemui dalam keadaan terlentang dengan badan masih berpakaian sut berwarna merah dan kelihatan membengkak manakala bahagian kepala hanya tinggal tengkorak serta anggota tangan dan kaki tinggal rangka.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 5:22pm
d