mutakhir

Banjir luar biasa di Sarawak akibat perubahan iklim

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Banjir luar biasa yang melanda Sarawak sejak dua hari lalu tiada kaitan dengan masalah perparitan, sebaliknya ia adalah kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, apa yang berlaku sejak dua hari lalu adalah disebabkan pertembungan hujan lebat dengan air pasang besar.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu akan berlarutan untuk tempoh dua tiga hari lagi dan penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutamanya di tebing sungai harus sentiasa berwaspada dan patuh jika diarah berpindah.

"Banjir akibat perubahan iklim tahun ini agak luar biasa dan beberapa negeri lain turut mengalaminya sebelum ini.

"Walaupun ada beberapa kelemahan dalam sistem perparitan, ia bukan penyebab utama banjir yang berlaku sekarang," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, hari ini.

Abang Johari turut menasihatkan penduduk yang terpaksa dipindahkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di PPS bagi mengelak penularan Covid-19.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) kini berjumlah seramai 3,387 orang.

Beliau berkata, mangsa banjir itu adalah daripada 885 keluarga di empat daerah di negeri ini.

Daerah Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,494 mangsa daripada 612 keluarga.

"Mangsa banjir di daerah Kuching ditempatkan di 33 PPS dengan 11 daripadanya baru dibuka, hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ismail, di Serian seramai 718 mangsa banjir daripada 215 keluarga ditempatkan di lapan PPS.

"Di Samarahan, seramai 145 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Miri pula seramai 29 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di dua PPS," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 6:27pm
d