mutakhir

Kasino di Korea Selatan hilang RM52 juta, wanita Malaysia dicari

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Korea Selatan berhubung pencarian wanita warga Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan RM52 juta dari sebuah kasino yang popular di Pulau Jeju di negara itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Risikan/Operasi Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata, polis sudah mengambil maklum berhubung kejadian itu susulan beberapa laporan berita yang disiarkan.

Menurutnya, pihaknya sudah berhubung dengan Interpol Korea Selatan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan identiti wanita terbabit.

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada mereka dan akan membantu selepas diminta oleh pihak berkuasa di sana," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu semalam Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jeju Shinhwa World, satu daripada pusat peranginan terbesar di Pulau Jeju, melaporkan kepada polis awal bulan ini bahawa lebih daripada 14 bilion won (RM52 juta), hilang dari kasino itu.

WSJ melaporkan bahawa pengendali kasino yang berpangkalan di Hong Kong, Landing International Development Ltd meminta polis untuk mencari pekerja wanita dari Malaysia yang bertanggungjawab atas wang tunai itu tetapi belum kembali bekerja selepas bercuti pada akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memberikan identiti wanita Malaysia itu, malah usaha pengusaha kasino untuk mencari wanita itu tidak berjaya.

WSJ menyatakan polis percaya bahawa dua atau lebih orang terbabit dalam operasi itu.

Minggu lalu, polis melakukan perburuan besar-besaran ke atas wanita itu selepas meninjau rakaman kamera keselamatan dari kasino.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 7:07pm
d