mutakhir

NGC Energy bantu 180 keluarga miskin

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 180 keluarga di Bandar Tun Razak di sini, yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan melalui Program Ziarah Kasih Bandar Tun Razak.

Usaha murni itu adalah sebahagian kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) NGC Energy bersama Pertubuhan Skuad Insaniah Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif NGC Energy Julianna Kamaruddin berkata, bantuan berjumlah RM10,000 itu membabitkan pemberian makanan dan beberapa keperluan asas lain yang diagihkan dalam usaha membantu meringankan beban warga kota itu.

"Ini adalah sebahagian daripada pelbagai kerjasama NGC Energy dengan organisasi bukan kerajaan yang lain dalam memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.

"Kami menjalankan aktiviti CSR berterusan dengan tema Memberi Kembali kepada Komuniti yang juga dilaksanakan bersempena dengan ulang tahun ke-8 kami," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Pada Disember lalu, Julianna berkata, NGC Energy memberikan bantuan sebanyak RM12,000 yang disalurkan kepada empat pusat kebajikan di Ipoh, Perak, Lembah Klang, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pasir Gudang, Johor.

"Program kolaborasi CSR dengan Squad Insaniah juga adalah program CSR dalam komuniti di lokasi utama kami. Keluarga yang menerima bantuan itu dikenal pasti melalui pengerusi penduduk di kawasan perumahan masing-masing di Bandar Tun Razak.

"Kita semua tahu bagaimana pandemik ini memberi kesan kepada ekonomi. Kami melaksanakan program ini sebagai usaha mengurangkan beban disebabkan oleh kos sara hidup keluarga susah ini yang juga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, NGC Energy juga pernah mengatur program CSR pada April tahun lalu, sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikenakan.

"Kami membelanjakan lebih dari RM100,000 untuk tujuan ini," katanya.

Sementara itu Presiden Squad Insaniah Mohd Fauzi Ibrahim berkata, usaha membantu masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 itu membuktikan keprihatinan pihaknya untuk membantu golongan kurang berkemampuan bersama NGC Energy.

"Kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana syarikat, atau individu yang ingin tampil untuk membantu dan bekerjasama dengan Squad Insaniah," katanya.

Majlis sumbangan kepada warga Bandar Tun Razak itu turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kuek Po Guan dan Pegawai Penyelaras DBKL Cawangan Bandar Tun Razak Khirzam Rahman.

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak membabitkan Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tasik Selatan, Kampung Selamat dan Perumahan Polis Desa Tasik di sini.

NGC Energy ialah pemain gas petroleum cecair (LPG) kedua terbesar di Malaysia dengan jenama MiraGas.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 10:40pm
d