mutakhir

Bincang isu menjaja di persimpangan lampu isyarat

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan susulan larangan penjaja makanan dan minuman berniaga di persimpangan lampu isyarat di sekitar daerah ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui aktiviti perniagaan di kawasan itu berisiko terhadap keselamatan peniaga dan pengguna jalan, namun kelonggaran mungkin boleh diberikan mengambil kira kehidupan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Saya akan minta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Dr Razali Ab Malik) untuk berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan (Datuk Mohamad Mat Yusop) mengenai perkara ini. Saya lihat masyarakat dapat menerima konsep perniagaan seperti ini dan nampak berjaya.

"Malah bilangan penjaja semakin bertambah. Jika dulu saya nampak penjaja jual buah mangga sahaja, tapi sekarang dah ada macam-macam. Kita bimbang ada kemungkinan suatu hari nanti, kenderaan di lampu isyarat tak boleh gerak sebab ramai peniaga," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, konsep perniagaan sebegitu tidak hanya wujud di Negeri Sembilan bahkan di negeri lain dan berharap perbincangan diadakan akan mencapai kata sepakat yang boleh membantu rakyat berniaga, terutama golongan muda yang kehilangan pekerjaan.

Aminuddin turut memberitahu, pengawalan jumlah penjaja di kawasan lampu isyarat penting untuk menjaga keselamatan semua pihak.

"Semuanya terpulang kepada budi bicara pihak polis," katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilapor berkata, penjaja makanan dan minuman dilarang berniaga di persimpangan lampu isyarat kerana ia kesalahan mengikut Kaedah 10A(1) LN 166/59 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan

Penjaja dilarang berniaga di lampu isyarat

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 4:18pm
d