mutakhir

Mangsa banjir di Pahang makin berkurangan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Mangsa banjir di Pahang semakin menurun kepada 6,444 orang daripada 1,776 keluarga yang kini ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, setakat 4 petang hari ini.

Pada 8 pagi hari ini, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 7,990 mangsa daripada 2,208 keluarga berada di 102 PPS di tujuh daerah.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,296 mangsa daripada 927 keluarga; diikuti Maran dengan 1,640 orang (467 keluarga) dan Kuantan seramai 877 orang (202 keluarga).

Di Temerloh pula membabitkan 427 mangsa daripada 127 keluarga; di Bera 257 orang (69 keluarga) dan Jerantut enam orang daripada dua keluarga.

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan tiga sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri ini hingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 4:45pm
d