mutakhir

'Bapa 'hai' saya pagi semalam, kini dia hilang dibawa arus'- Nur Khairunnisa

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Hati saya sejak tiga ke empat hari kebelakangan ini memang rasa tak sedap sangat," luah Nur Khairunnisa Ahmad Amin, 29, berhubung bapanya, Ahmad Amin Ismail, 58, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus longkang, malam semalam.

Pada kejadian itu, Ahmad Amin terjatuh ke longkang selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, berdekatan Chemor di sini.

Nur Khairunnisa berkata, kali terakhir dia bercakap dengan bapanya ialah ketika bapanya itu keluar rumah untuk bekerja, jam 6 pagi semalam.

"Bapa 'hai' kepada saya, saya 'hai' kembali. Saya terkejut apabila menerima khabar ini," kata anak kedua daripada tiga beradik itu yang ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, isteri Ahmad Amin, Khadijah Din, 59, berkata, dia dimaklumkan oleh polis berkaitan kejadian terbabit selepas jam 9 malam semalam.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati memandangkan suami masih tidak pulang ke rumah pada jam 7 malam selain langsung tidak menjawab panggilan telefon.

Khadijah berkata, sebelum ini, suaminya ada memaklumkan perlu kerja lebih masa semalam selain menyatakan telefon bimbitnya ditinggalkan didalam almari tempatnya bekerja sekiranya panggilan tidak berjawab.

"Saya memang selalu menelefonnya untuk bertanya apa yang dia mahu untuk makan malam bahkan sesudah solat Maghrib, saya biasanya akan didihkan air kerana dia sering mandi dengan air suam," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman berkata, pencarian mangsa tertumpu kepada dua lokasi yang menempatkan perangkap sampah sepanjang longkang itu membabitkan jarak kira-kira lima kilometer.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 5:46pm
d