mutakhir

Kapal lama dipercayai tahun 1800-an ditemui selepas banjir

Oleh Roselan Ab Malek

Lipis: Seorang wanita terkejut apabila menemui sebuah kapal lama dipercayai digunakan pada tahun 1800-an yang terdampar di tepi Sungai Lipis berdekatan dengan Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar, Penjom, 5 petang semalam.

Wanita itu, Sharimah Mohd Nor, 50, berkata selepas menemui objek dipercayai rangka kapal, dia terus memaklumkan ke Balai Polis Penjom.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, setelah menerima makluman itu, anggota polis bergegas ke lokasi penemuan itu.

"Memang benar terdapat rangka kapal lama yang terdampar di tebing sungai Lipis selepas timbul akibat banjir besar yang melanda daerah ini, baru-baru ini.

"Terdapat tulisan 'VIVIA AND SONS SHEATING' pada logam di badan kapal itu, namun terdapat beberapa bahagian badan kapal itu telah tiada," katanya.

Beliau berkata, hasil temu bual penduduk di situ, terdapat sekumpulan penduduk kampung mengambil bahagian tertentu kapal itu.

Menurutnya, polis kemudian memaklumkan kepada pihak Jabatan Warisan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, menurut Cabutan Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek dipercayai mempunyai warisan kebudayaan penting hendaklah dengan serta-merta memberitahu pihak berkuasa.

"Mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit dikeluarkan pihak berkuasa telah melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 5:59pm
d