mutakhir

Sembilan ahli sindiket pengedaran daum ketum ditahan [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Sembilan ahli sindiket pengedaran daun ketum diberkas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersama daun serta air ketum dan ubat batuk bernilai hampir RM50,000 ketika serbuan di sebuah rumah di Jalan Jedok, Kampung Batu Sembilan, Batang Merbau, Tanah Merah, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu membabitkan 1,464 kilogram (kg) daun ketum, 100 botol ubat batuk dan lima botol air ketum, selain turut ditemui wang tunai RM4,498 dipercayai hasil jualan barangan terlarang itu.

Beliau berkata, pihanya menyerbu rumah berkenaan pada 9.30 pagi sebelum pintu dibuka seorang suspek berusia 29 tahun dipercayai pemilik rumah.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui lapan lagi lelaki berusia 28 tahun sehingga 41 tahun dengan dua daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Hasil soal siasat mendapati rumah itu dijadikan tempat menyorok barangan salah dan anggota meneruskan pemeriksaan ke kawasan semak di belakang rumah sebelum menemui longgokan plastik hitam berisi daun ketum," katanya ketika ditemui di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, di sini, hari ini.

Azhari berkata, semua sembilan suspek ditahan dan barangan terbabit dirampas untuk diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1950 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Selain itu, siasatan awal mendapati semua bekalan daun ketum diperoleh dari Kedah termasuk 700kg daripadanya sudah dijual kepada pembeli tempatan dipercayai untuk pasaran sekitar Kelantan dan Terengganu.

"Sembilan suspek itu adalah pengedar dan ejen jualan ketum sebagai pekerja sambilan untuk mendapat duit sampingan. Malah mereka memberitahu harga ketum lebih mahal dua kali ganda jika dijual di Thailand susulan mendapat permintaan tinggi.

"Mereka dipercayai aktif mengedar ketum sejak setahun lalu," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 6:20pm
d