mutakhir

Pengguna MySejahtera positif Covid-19 terima SMS

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pengguna MySejahtera yang didaftarkan sebagai kes positif Covid-19 di Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima notifikasi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan 'push notification' melalui aplikasi itu bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengguna aplikasi terbabit akan mendapat nasihat dan pelan susulan penilaian kendiri.

Menurutnya, aplikasi MySejahtera juga akan memberi peringatan kepada pengguna setiap hari untuk melakukan penilaian pemantauan gejala Covid-19 di bahagian 'Perlu Dilakukan' bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

Katanya, sekiranya pengguna bergejala, maklumat itu akan terus disalurkan ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) dan pengguna akan dihubungi oleh petugas kesihatan untuk penilaian lanjut.

"Bagi memperkasakan pengguna yang positif untuk melaporkan sendiri kepada KKM, pengguna juga boleh membuat pelaporan kendiri sekiranya mereka disahkan positif dan sedang menunggu panggilan dari KKM.

"Mereka boleh ke MySejahtera HelpDesk di halaman utama aplikasi itu dan ikuti arahan di ruang G," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai dinasihati untuk mengemaskini aplikasi MySejahtera dan menggunakan sepenuhnya semua fungsi dalam aplikasi berkenaan.

"Adalah diharapkan dengan pengemaskinian aplikasi MySejahtera ini, pengurusan semua kes positif Covid-19 dapat berjalan dengan lebih lancar dan memenuhi keperluan semua pengguna.

"Ini adalah selaras dengan hasrat KKM untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 7:53pm
    d