mutakhir

Empat keluarga hidup berhimpit di rumah usang [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Akibat kesempitan hidup, seramai 17 orang daripada empat keluarga terpaksa tinggal dalam keadaan berhimpit tempat tidur selain bersesak di rumah usang dan daif di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

Rumah usang berusia 50 tahun yang mana struktur kayunya semakin uzur selain lantai rumah yang sudah reput dimakan anai-anai mempunyai dapur dan bilik air serta tiga bilik tidur turut dikongsi oleh empat keluarga terdiri daripada ipar duai dan juga biras mereka yang mempunyai pertalian keluarga.

Menurut Che Soh Jaafar, 62, dia dan isterinya, Jamilah Ramli, 44, terpaksa tinggal dalam keadaan yang berhimpit dalam satu rumah disebabkan tidak mampu menyewa di tempat lain selepas berhenti kerja sebagai guru sejak 10 tahun lalu.

"Sebelum ini, saya tinggal di rumah sewa, namun selepas berhenti kerja dan tidak mempunyai pendapatan, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah ini sejak dua tahun lalu. Rumah yang didiami ini adalah milik ibu bapa kepada isteri saya.

"Disebabkan terlalu ramai yang tinggal di dalam rumah ini, saya dan isteri tinggal di ruang dapur yang dipisahkan dengan dinding, manakala ada di antara ahli keluarga lain yang terpaksa tidur di ruang tamu rumah kerana bilik tidur tidak mencukupi bagi menumpang kapasiti individu yang tinggal di sini.

"Memandangkan kami tinggal dalam satu bumbung, bil utiliti seperti bil elektrik dan air turut dikongsi dan dibayar bersama dan masing-masing menghulurkan wang untuk menyelesaikan kesemua bil ini pada setiap bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Badang, di sini, baru-baru ini.

Katanya, setiap hari, dia sering berada dalam kebimbangan memikirkan nasib bakal menimpa sekiranya rumah yang dihuni itu roboh dan terutama keselamatan anak-anak kecil yang turut tinggal bersama.

"Saya risau rumah ini tidak kukuh buatannya dan hanya tunggu masa hendak roboh saja. Takut kemudian hari tidak sedar mati terhempap.

"Meskipun sedar tidak selamat menetap di rumah ini namun saya dan isteri tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mengeluarkan modal membaiki kerosakan serta keluar menyewa di tempat lain," katanya.

Che Soh berkata, dia memang teringin tinggal di rumah lebih selesa dan membaiki kerosakan rumah ini, namun wang yang ada hanya cukup-cukup makan selain untuk bayar bil air dan api serta perubatan isterinya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang.

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri, saya hanya mengambil upah menjahit pukat nelayan dengan kadar upah RM50 untuk satu pukat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni rumah berkenaan, Nor Shahida Mokhtar, 24, berkata, dia tinggal di rumah itu sejak dua tahun lalu bersama suami dan dua anak mereka kerana tidak mampu menyewa rumah lain.

"Jika diikutkan memang tidak selesa kerana tinggal dalam keadaan yang berhimpit, namun kami tidak mempunyai pilihan lain dan bernasib baik kerana masing-masing memahami situasi yang dialami.

"Walau bagaimanapun, selepas ini saya akan mencari kerja untuk membantu meringankan beban suami yang hanya bekerja kampung dan pada masa sama berusaha mencari rumah sewa murah dan mampu menanggung bayaran bulanannya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Che Soh di talian 013-7373701.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 11:37am
d