mutakhir

Penjual santan meninggal dunia dalam kereta

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Penjual santan ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta di bahu jalan, di sini, hari ini.

Nik Asnawi Nik Abdullah, 43, kemudian disahkan meninggal dunia oleh Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tiba di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 10 pagi.

Katanya, menurut isteri mangsa, Nik Asnawi yang tinggal di Bukit Gedung, bekerja sebagai penjual santan di Jalan Permatang Damar Laut, di sini.

"Terdahulu lelaki berkenaan bersama anaknya berusia 10 tahun baru selesai mengangkat barangan untuk berpindah rumah di Sungai Nibong, sebelum keluar semula menaiki Proton Wira.

"Lelaki berkenaan pernah mengadu sakit urat dan gastrik tiga hari lalu sebelum mengambil ubat di farmasi," katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, lelaki itu juga tidak pernah mendapat rawatan di hospital.

"Jenazah dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 3:20pm
d