mutakhir

'Saya rela emolumen dipotong' - Shahidan [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Arau: Ahli Parlimen di negara ini digesa melakukan pemotongan emolumen termasuk elaun mereka secara sukarela dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, walaupun pemotongan gaji dan elaun Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara ketika fasa Proklamasi Darurat ini sukar untuk dilaksanakan kerana Parlimen tidak dapat bersidang, namun setiap ahli parlimen perlu mempunyai kesedaran demi kepentingan rakyat.

"Saya melihat begini... walaupun dalam keadaan darurat sekalipun... rakyat perlu dijaga dan dibantu dan dalam keadaan ini... saya mencadangkan agar gaji atau elaun ahli parlimen dipotong secara sukarela kerana gaji atau elaun ahli parlimen agak tinggi juga.

"Kalau nak potong begitu sahaja... mungkin ada yang tak mahu pula tetapi biarlah secara sukarela... ada yang nak beri lima peratus... ada pula 10 peratus dan ada pula nak beri 20 peratus… terpulanglah dan sementara nak menunggu apa jua keputusan bersukarelalah dalam membantu rakyat kerana Allah SWT.

"Sesetengah orang tak mahu potong (gaji) kerana tak cukup untuk kawasan mereka... setengah orang nak juga potong dan walaupun tak cukup pun dia akan berusaha untuk cari peruntukan dan kalau saya sendiri, saya tidak ada masalah untuk gaji atau elaun saya dipotong kerana ia sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat di kawasan saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional/Umno Perlis di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, hari ini.

Beliau turut melepaskan konvoi bantuan pasca banjir yang dijangka akan berada selama dua minggu di beberapa daerah di Pahang untuk membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas.

Pasukan bantuan itu turut membawa barangan keperluan seperti tilam, selimut dan bantal.

Katanya, kesedaran dalam diri perlu ada pada setiap ahli parlimen tanpa mengira parti politik dalam membantu rakyat terutama dalam keadaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Saya sendiri mencadangkan elaun saya dipotong untuk digunakan oleh rakyat di tempat saya... tak banyak pun.. kalau 10 peratus dalam RM1,600 atau 20 peratus dalam RM3,200... terpulanglah kepada rakyat untuk membelanjakan peruntukan ini.

"Tentang pentadbiran parlimen dan lain-lain… akan ada satu badan khas dibentuk tidak lama lagi. Saya tak tahu lagi apakah itu, jadi kita tunggu kerana apa pun mesti ada satu jawatankuasa untuk mengurus parlimen," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 3:46pm
d