mutakhir

Harga minyak masak dalam botol melonjak

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Masyarakat pengguna di bandar raya ini resah apabila harga minyak masak naik mendadak berbanding bulan lalu.

Tinjauan di beberapa kedai serbaneka serta pasar mini di Tampoi dan Taman Perling di sini mendapati minyak masak dalam botol lima kilogram melonjak naik mencecah RM27.90 sebotol berbanding hanya antara RM21.50 hingga RM22.90 sebelum ini.

Manakala harga minyak masak dalam botol dua kilogram yang dijual antara RM9.90 hingga RM11 sebotol kini naik kepada RM12.50 hingga RM14 manakala minyak masak dalam paket kekal pada harga RM2.50 sepaket sekilogram.

Suri rumah, Haslita Zainudin, 42, berkata dia terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak masak botol lima kilogram itu berbanding sebelum ini.

Katanya, dia beranggapan harga barangan akan turun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan namun ternyata anggapannya meleset.

"Terkejut bila tengok harga minyak masak lima kilogram naik mendadak sehingga hampir RM30. Pada hal bulan lalu jenama minyak yang sama hanya berharga RM22.50 sahaja.

"Suri rumah seperti saya memang beli minyak lima kilogram sekali atau dua kali setiap bulan. Mungkin saya perlu beralih beli minyak dalam paket selepas ini, " katanya.

Bagi Amni Bariah Musa, 33, harga barang keperluan terutama minyak masak yang melonjak membebankan pengguna.

"Apabila lihat minyak masak botol sudah menjadi terlalu membebankan, saya kini beralih kepada minyak masak paket.

"Namun, saya harap kerajaan dapat pantau penjualan minyak masak paket jangan pula selepas ini ia kehabisan di pasaran seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full berkata, kerajaan kini hanya mengawal harga minyak masak paket satu kilogram dengan harga RM2.50 yang masih disubsidi.

Katanya, manakala harga minyak masak selain itu, tidak lagi disubsidi dan mengikut harga di pasaran terbuka yang berkuat kuasa sejak 1 November 2016 mengikut Skim Penstabilan Harga Minyak Masak diumumkan kerajaan Persekutuan.

"Tidak benar dakwaan mengatakan harga barangan terutama minyak masak naik mendadak kerana musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba.

"Faktor harga minyak masak selain dalam paket naik mendadak berikutan harga minyak sawit mentah di negara kita melonjak naik di pasaran sehingga lebih RM3,800 setiap tan.

"Bagaimanapun kerajaan Johor akan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor supaya membuat pemantauan ke atas penjualan minyak masak paket supaya stok sentiasa ada dan tidak kehabisan bagi kemudahan pengguna di negeri ini," katanya.

Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) mencecah RM3,986 setiap tan pada 7 Januari lalu sekali gus mencapai paras tertinggi sejak 10 tahun lalu yang mencatatkan harga RM3,933.80 setiap tan yang direkodkan pada Februari 2011.

November lalu, harga MSM dilaporkan melonjak kepada RM3,429, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2012.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 4:40pm
d