mutakhir

2 hilang bot karam di Lahad Datu

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Dua selamat manakala dua lagi hilang selepas sebuah bot nelayan karam di perairan Kuala Meruap, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang selamat dikenali Adrian @ Agus Bahtiar, 45, dan Oyong @ Herman, 35, yang diselamatkan nelayan lain.

Manakala dua lagi yang hilang dikenali sebagai Andi Manso, 40 dan Sindora, 42.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan jam 7 malam, semalam.

Menurutnya, bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan berkenaan dilaporkan terbalik lalu karam akibat dipukul ombak.

"Susulan itu, SAR dijalankan dengan menumpukan keluasan 175 batu nautika persegi membabitkan enam aset laut pelbagai agensi keselamatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Zainudin berkata pihaknya menerima maklumat penemuan satu mayat lelaki oleh penduduk di perairan Tambisan, Lahad Datu pagi ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang mengenal pasti identiti mayat berkenaan sama ada salah seorang daripada mangsa bot karam terbabit atau sebaliknya.

Menurutnya, SAR berdepan kesukaran kerana cuaca buruk dan dalam masa sama pihaknya berdepan dua kes bot karam di daerah ini.

Terdahulu sebuah bot tunda karam di perairan Kinabatangan, Rabu lalu membabitkan dua mangsa selamat dan tiga masih hilang.

#kw bot, nelayan, karam, hilang, maritim, Sandakan, Lahad Datu

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 4:43pm
d