mutakhir

PKP: Penjual di Bukit Bunga fokus berniaga dalam talian [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Beberapa peniaga di Gerai Jualan Bukit Bunga, di sini, mengambil inisiatif berniaga secara dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan bermula hari ini sehingga 26 Januari.

Tinjauan ke kawasan terbabit, mendapati rata-rata peniaga masih membuka gerai jualan, namun mengakui lebih memfokuskan kepada jualan dalam talian, malah ia lebih mendapat permintaan memandangkan pelanggan mengikut saranan kerajaan untuk berada di rumah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Seorang peniaga, Nor Azwa Aida Mohamad, 21, berkata dia menggunakan kelebihan sosial media, Facebook (FB) untuk mempromosikan baju, anak patung, barang permainan dan pelbagai produk daripada industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai salah satu inisiatif untuk menarik pelanggan.

Katanya, jualan dalam talian timbul sejak awal lagi bermula PKP pada Mac tahun lalu, dan ia diteruskan sehingga hari ini, namun diaktifkan lagi sebaik mendapat perkhabaran pelaksanaan PKP walaupun kali ini mereka diberi kebenaran untuk berniaga.

"Saya perlu mencari jalan bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan dan Alhamdulillah, jualan dalam talian turut memberi keuntungan malah mendapat lebih ramai pelanggan bukan sahaja dari Kelantan tetapi seluruh negara.

"Sebenarnya pelaksanaan PKP memberi hikmah tersendiri, apabila peniaga seperti saya membuka mata untuk pelbagaikan lagi platform peniagaan melalui kemudahan teknologi yang ada" katanya ketika ditemui di gerai jualan miliknya di Bukit Bunga, di sini, hari ini.

Gerai Jualan Bukit Bunga terletak sempadan di sempadan Tanah Merah-Jeli dan menjadi tumpuan pengunjung yang melalui Lebuh Raya Utara Timur Barat untuk membeli ole-ole.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Zaharah Ismail, 41, berkata dia tetap membuka gerai menjual anak patung walaupun menyedari pelanggan yang datang berkurangan secara mendadak.

"Tidak mengapa, walaupun tidak ramai pengunjung, saya tetap bersyukur masih diberi peluang berniaga namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tiada jangkitan wabak berlaku.

"Saya berharap agar pelaksanaan PKP kali ini dapat mengurangkan jangkitan sekali gus memutuskan penularan wabak Covid-19 supaya peniaga di sini dapat kembali 'bernafas'," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 5:01pm
d