mutakhir

Aktiviti agama selepas solat Subuh, antara Maghrib dan Isyak

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Aktiviti pengajian agama di masjid dan surau di Pahang hanya dibenarkan selepas solat Subuh serta antara waktu Maghrib dan Isyak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 26 Januari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifli Ali berkata, jemaah juga dilarang berganjak atau berubah tempat duduk ketika mengikuti pengajian agama.

Katanya, penceramah dari luar Pahang dan jamuan selepas aktiviti serta majlis akad nikah tidak dibenarkan di masjid dan surau.

"Arahan ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB Covid-19 bagi aktiviti di masjid dan surau di Pahang yang diperkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pengurusan jenazah pula akan dibuat di dalam bilik atau tempat khas dengan jumlah pengendali berdasarkan keluasan ruang dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Katanya, semua yang hadir perlu memakai pelitup muka dengan sempurna dan merekodkan kehadiran yang ditetapkan pentadbir masjid serta surau.

"Solat jenazah dibenarkan dilaksanakan di ruang solat masjid dan surau dengan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk penjarakan fizikal ketika berada di tanah perkuburan.

"Bacaan talkin dan tahlil ringkas sahaja dibenarkan selepas pengebumian," katanya,

Menurutnya, pengurusan masjid dan surau diminta melakukan sanitasi di ruang solat serta kawasan sekitarnya termasuk tandas dan tempat wuduk.

"Seramai 40 orang atau lebih dibenarkan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kapasiti ruang solat yang dibuka oleh masjid negeri, daerah, kariah dan surau yang mendapat kebenaran," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 5:36pm
d