mutakhir

Mangsa banjir di Pahang makin berkurangan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 4,610 orang daripada 1,280 keluarga yang kini ditempatkan di 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat 4 petang hari ini.

Terdahulu, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 5,751 mangsa daripada 1,599 keluarga berada di 76 PPS pada 8.30 pagi tadi.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 2,686 mangsa daripada 766 keluarga; diikuti Maran dengan 935 mangsa (286 keluarga) dan Kuantan seramai 776 mangsa (174 keluarga).

Di Temerloh pula membabitkan 35 mangsa daripada enam keluarga dan Bera 178 mangsa (48 keluarga).

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula melepasi paras amaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang hingga 20 Januari ini.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 5:55pm
d