mutakhir

6 kluster baharu hari ini, 3 di Johor

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan enam lagi kluster baharu hari ini dengan tiga daripadanya dicatatkan di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Senai Cyber adalah kluster tempat kerja yang dilaporkan di daerah Kulai, Johor.

Menurutnya, saringan bersasar yang dijalankan di beberapa buah kilang mendapati seramai 114 individu dikesan positif Covid-19 dan sehingga hari ini seramai 198 individu sudah disaring.

Katanya, bagi Kluster Tembok Nanas membabitkan pusat tahanan di Pontian, Johor yang bermula daripada seorang tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) didapati positif pada 10 Januari lalu.

"Saringan bersasar yang dijalankan kemudiannya mendapati seramai 40 lagi PATI dikesan positif Covid-19 dan seramai 252 individu sudah disaring," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Sembrong di Kluang yang membabitkan lokaliti asrama pekerja iaitu kluster baharu ketiga di Johor membabitkan 18 kes positif Covid-19 dan seramai 52 individu sudah disaring.

Menurutnya, Kluster Jalan Permata adalah kluster tempat kerja yang dikesan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan 61 kes positif virus itu.

Katanya, satu lagi kluster baharu adalah Kluster Taman Juta membabitkan daerah Hilir Perak, Perak dengan seramai 48 individu sudah disaring dan 14 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster baharu keenam yang dikesan hari ini adalah Kluster Kampung Lebu di daerah Bentong dan Kuantan, Pahang dengan 21 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam terdapat sebanyak 641 kluster dilaporkan dengan lima kluster tamat pada hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 7:33pm
    d